Info Islam : Tidak Bertegur

Islam melarang umatnya dari tidak bertegur sapa dengan sahabat seIslamnya yang lain dek kerana pergaduhan perkara keduniaan lebih dari 3 hari. Antara yang dimaksudkan pergaduhan kerana sebab dunia adalah kerana tanah, harta pusaka, rumah, tanam bunga masuk kawasan jiran, isu pangkat, isu cemburu wanita dan lelaki dan lain-lain yang tidak ada kaitan secara langsung kepada Islam.


Nabi SAW bersabda :

ولا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ

Ertinya : Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan ( tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih dari 3 hari”

( Riwayat Al-Bukhari, 5/2253)

Kenapa 3 hari?, inilah sifat fitrah dalam kerana Islam. Walaupun Nabi SAW pernah menasihatkan agar jangan marah dalam sabdanya :-

سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ مَاذَا يباعدني من غَضِبِ اللَّهِ عز وجل قال لاَ تَغْضَبْ

Ertinya : Ditanya kepada Rasulullah SAW : Apakah yang menjauhkan aku dari kemurkaan Allah SWT , jawab Nabi : Janganlah kamu marah ”

( Riwayat Ahmad, 2/175)

Walaubagaimanapun, kemarahan tetap tidak dapat dielak secara total, justeru Islam memberikan motivasi dan cara bagaimana cara menangani marah dengan pelbagai cara. Apabila ia berkait dengan orang lain, Islam mengajar kita agar jangan terlalu terbawa-bawa sehingga memutuskan ikatan persaudaraan dan persahabatan hanya kerana kes marah & gaduh tadi.


Imam An-Nawawi menyebutkan :-

تحرم الهجرة بين المسلمين أكثر من ثلاث ليال بالنص وتباح في الثلاث بالمفهوم وإنما عفى عنه في ذلك لأن الآدمي مجبول على الغضب

Ertinya : “Diharamkan tidak bertegur sapa di antara Muslimin ( yang disebabkan punca pergaduhan dunia) lebih dari 3 hari secara jelas dari Nas hadith, dan secara mafhumnya difahami harus untuk melakukan itu (jika perlu) selama 3 hari, dan sesungguhnya dimaafkan sifat demikian kerana manusia sentiasa terbawa-bawa sifat marah”

( Syarah Sohih Muslim, 16/117)

Memang tidak mungkin untuk melenyapkan pergaduhan kerana keduniaan di antara sesama manusia, justeru Islam menggalakkan kemaafan antara satu sama lain.

Islam membenarkan tidak bertegur sapa untuk maksimum 3 hari sebagai memenuhi kehendak fitrah manusia, tetapi tidak lebih dari itu, kerana lebih dari tempoh tersebut akan membawa mudarat kepada ikatan dan keutuhan sesama Islam.


Di dalam kaedah Islam ditegaskan :-

فتقدم المصلحة العامة على الخاصة

Ertinya : “Kepentingan umum sentiasa di dahulukan atas kepentingan peribadi”

( Az-Zakhirah, 2/467 ; Al-I’tisam , As-Syatibi, 2/116 ; Al-Muwafaqat, 2/367)

Justeru, melayani kemarahan dan keegoan diri adalah kepentingan peribadi, jangan sampai ia melewati batas kepentingan umum. Kepentingan umum yang menjadi objektif Islam adalah masyarakat Islam yang berkasih sayang, bantu membantu dan objektif ini akan terhakis jika semua individu melayani kepentingan dan keegoan dirinya dalam hal ini lebih dari 3 hari.

Tiada ulasan: